Berita mengenai proses pemain warisan bagi skuad Harimau Malaya ketika ini menjadi bualan hangat media di Belanda.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend dalam kenyataan memaklumkan seorang pemain dari Belanda bakal menjadi pemain warisan baharu skuad negara.
Proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir,” kata Frend dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Perkara ini mendapat liputan media ternama di Belanda yang turut melaporkan mengenai usaha Malaysia untuk dapatkan 3 pemain dari negara itu bagi memperkuat barisan Harimau Malaya.
”Malaysia ingin meniru Indonesia dan berharap dapat memujuk 3 pemain bola sepak Belanda,” tulis Voetbalzone.
Laman sukan Voetbalzone itu turut mendakwa Malaysia kini mengikut langkah yang dilakukan oleh Indonesia untuk meningkatkan kualiti pasukan dengan pemain dari Belanda.
”Malaysia terinspirasi oleh Persatuan Bola Sepak Indonesia, dan ingin menarik pemain dari Belanda, bagi meningkatkan kedudukan mereka dalam piramid bola sepak global,” ujar laman berita itu lagi.
Skuad Harimau Malaya yang ketika ini melalui fasa revolusi di bawah naungan DYAM Tunku Mahkota Ismail sedang giat mencari pemain warisan bagi memperkuat pasukan negara.
Selain pemain Belanda yang diumumkan, Rob Friend turut memberitahu 3 lagi pemain sedang menunggu kerakyatan Malaysia sebelum boleh menyarung jersi Harimau Malaya.
Tugas besar menanti pasukan kendalian Peter Cklamovski ini apabila bakal beraksi di Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula pada Mac ini dengan aksi pertama bertemu Nepal.