Harimau Malaya memasuki tahun 2025 dengan jersi era baharu apabila Puma diumumkan sebagai penaja jersi rasmi pasukan itu.
Pengumuman ini dibuat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi badan induk itu.
Pengumuman ini sekaligus menyaksikan tamatnya era Nike sebagai penaja jersi Harimau Malaya. Nike menjadi penaja rasmi skuad kebangsaan dari 2007 hingga 2024.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Puma, jenama sukan antarabangsa, dengan sukacitanya mengumumkan kerjasama strategik menamakan Puma sebagai penaja pakaian dan jersi rasmi skuad kebangsaan, Harimau Malaya, berkuat kuasa 1 Januari 2025.
“Kerjasama ini menandakan satu pencapaian penting untuk bola sepak Malaysia, dengan menggabungkan bersama dedikasi FAM terhadap sukan ini serta legasi inovasi dan kecemerlangan Puma di dalam dan luar padang,” katanya dalam satu kenyataan.
Puma menjadi penaja jersi rasmi keempat Harimau Malaya sejak FAM menerima penajaan jersi rasmi bermula pada tahun 1975.
Adidas terlebih dahulu menjadi penaja dari 1975 hingga 1977. Ini disusuli Umbro sebagai penaja jersi rasmi pasukan selama setahun pada 1978.
Adidas kembali menjadi pilihan skuad negara pada 1979 dan kerjasama itu kekal terjalin sehingga tahun 2006.
Jersi baharu ini bakal digunakan buat kali pertama untuk aksi pertama pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027. Malaysia dijadual bertemu Nepal pada 25 Mac 2025.
Aksi ini juga bakal menjadi penampilan pertama ketua jurulatih baru Harimau Malaysia dari Australia, Peter Cklamovski.