Malang menimpa jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia apabila beliau terpaksa menarik diri daripada saingan suku akhir Indonesia Masters.
Pemain berusia 26 tahun itu terpaksa menarik diri ketika sedang rancak beraksi menentang Brian Yang dari Kanada di peringkat suku akhir pada Jumaat.
Beliau ketika itu tewas di set pertama 14-21 dan apabila mahu memulakan aksi set kedua, beliau kelihatan sudah tidak berupaya sekaligus memberi kemenangan kepada lawannya itu.
Para peminat yang berada di Istora Senayan mahupun di rumah berasa cuak dan tertanya-tanya dengan situasi terkini pemain kegemaran mereka itu.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Team LZJ, juara Arctic Open 2023 itu mengalami keracunan makanan yang menyebabkan kesihatannya terganggu.
“Malangnya Lee Zii Jia terpaksa menarik diri pada pertengahan perlawanan kerana keadaan badannya merosot selepas kes keracunan makanan yang teruk sejak beberapa hari lalu,” tulis Team LZJ di laman X.
“Zii Jia benar-benar mencuba yang terbaik untuk beraksi tetapi tidak dapat menghabiskan perlawanan menentang Brian Yang.”
“Terima kasih atas doa semua.”
Zii Jia jugak sempat berterima kasih kepada semua atas doa dan sokongan kepadanya.