Putera Rivaldo Sertai Bangkok United
MakanBola
Bangkok United

Putera legenda Brazil, Rivaldo menjadi rekrut terbaru Bangkok United dalam tetingkap perpindahan Januari 2026.

Perpindahan Rivaldinho, 30, disahkan pengurusan Bangkok United menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.

“Kelab Bola Sepak True Bangkok United telah secara rasmi mengumumkan perpindahan penyerang Brazil, Rivaldinho untuk memperkukuhkan pilihan serangan mereka bagi perlawanan kedua musim 2025/26.

“Rivaldinho, penyerang Brazil berusia 30 tahun yang mempunyai ketinggian 187 sentimeter, merupakan anak lelaki Rivaldo, seorang pemain bola sepak legenda Brazil yang merupakan sebahagian daripada pasukan pemenang Piala Dunia 2002.

“Beliau mempunyai pengalaman luas bermain dalam liga profesional peringkat tinggi di Amerika Selatan, Eropah dan Asia,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Bisa Rivaldinho bakal ditagih jurulatih Bangkok United, Totchtawan Sripan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Richairo Zivkovic. Zivkovic ketika ini berehat akibat kecederaan lutut.

Rivaldinho pernah beraksi untuk Boavista, Corinthians, Mogi Mirim, Dinamo Bucharest, Internacional, Levski Sofia, Cracovia, CS U Craiova, FCV Farul dan FC Viitorul.

Beliau tidak asing beraksi di Asia. Ini kerana Rivaldinho pernah beraksi untuk kelab divisyen tiga China, Qingdao Red Lions.

Rivaldinho pernah beraksi bersama bapanya, Rivaldo ketika mewakili Mogi Mirim. Malah, hantaran bapanya membantu beliau menjaringkan gol dalam satu aksi divisyen dua Brazil pada 2015.

Rivaldinho dijangka bukan satu-satunya pemain baharu yang dibawa Bangkok United untuk mengharungi baki kempen 2025/26.

Ini kerana pasukan itu telah mengucapkan selamat tinggal kepada pemain tengah Singapura, Kyoga Nakamura. Nakamura dijangka berpindah ke Lion City Sailors (LCS).