Queiroz: Komen Klinsmann Memalukan Bola Sepak
Piala Dunia
@Carlos_Queiroz
Advertisements

Dua hari lepas, Iran mengikut jejak langkah Jepun dan Arab Saudi mengejutkan pasukan-pasukan pilihan Piala Dunia 2022 dengan mengalahkan Wales 2-0. Tetapi satu komen yang dikeluarkan legenda Jerman, Jurgen Klinsmann mengundang kemarahan jurulatih Iran dari Portugal, Carlos Queiroz di mana ia disifatkan memalukan sukan bola sepak.

Komen yang dimaksudkan ialah komennya terhadap pasukan Iran yang dianggap agresif dan fizikal semasa perlawanan menentang Wales. Tetapi apabila pemain-pemain Team Melli mengerumuni pengadil kerana hanya melayangkan kad kuning terhadap Wayne Hennessey akibat terjahan merbahaya terhadap Mehdi Taremi, Klinsmann mendakwa itu sebahagian daripada ‘budaya’ orang Iran.

Semasa mengulas perlawanan Wales-Iran di BBC, legenda Jerman itu berkata, “Carlos amat sesuai dengan pasukan dan budaya mereka, beliau gagal di Amerika Selatan bersama Colombia dan gagal layak ke final bersama Mesir dan beliau datang ke Iran sebelum Piala Dunia, di mana mereka telah bekerjasama untuk tempoh yang lama.

Advertisements

“Ini bukan satu kebetulan, ini sebahagian daripada budaya mereka, cara mereka bermain. Mereka memberi tekanan kepada pengadil, memberi tekanan kepada penolong pengadil dan pegawai keempat, rungutan mereka sentiasa kedengaran. Terdapat banyak insiden yang kita tidak lihat. Itu cara mereka, itu cara mereka merampas permainan.

“Keadaan ini (insiden kad merah Hennessey) boleh saja berbeza dengan pengadil yang berbeza. Mereka ada lima pemain yang mengerumuni pengadil. Dan keputusan tersebut tidak memihak kepada Wales.”

Queiroz yang berang kemudiannya mengeluarkan satu surat terbuka di Twitter bagi membidas semua hujah bekas penyerang Tottenham Hotspur itu. Beliau menulis, “Helo, Jurgen. Anda mengambil inisiatif dengan memanggil saya Carlos, jadi molek bagi saya memanggil kamu Jurgen. Benar, kan? Walaupun anda tidak mengenali saya secara peribadi tetapi anda mempersoal perwatakan saya dengan sikap prejudis moral tipikal.

Advertisements

“Tak kira berapa banyak penghormatan yang saya ada pada pencapaian kamu dalam padang, komen anda berkenaan budaya Iran, pasukan kebangsaan Iran dan para pemain saya memalukan kepada bola sepak. Tiada siapa boleh menjejaskan integriti sekiranya ia bukan berada pada tahap kami.

“Di sebalik semua ini, kami mahu menjemput anda sebagai tetamu kami, untuk datang ke kem pasukan kebangsaan, bergaul dengan pemain-pemain Iran dan mempelajari tentang negara mereka, rakyat mereka, kesenian dan kesusasteraan, algebra, semua aspek kebudayaan dan dengar sendiri daripada para pemain betapa minatnya mereka terhadap sukan bola sepak.

“Sebagai orang Amerika/Jerman, kami faham sebab anda tak menyokong. Tiada masalah. Dan walaupun komen mengarut anda di BBC cuba memperlekeh usaha, pengorbanan dan kemahiran kami, kami berjanji kami takkan menghakimi budaya, asal-usul dan latar belakang anda serta anda dialu-alukan menyertai keluarga kami.

Advertisements

“Pada masa sama, kami juga bakal mengikuti dengan penuh minat apa keputusan FIFA tentang kedudukan anda sebagai Ahli Jawatankuasa Kumpulan Kajian Teknikal Qatar 2022. Ini kerana secara jelas, anda perlu meletak jawatan jika anda mahu melawat kem latihan kami.”

Di sebalik kontroversi ini, kemenangan Iran dalam perlawanan tersebut memberi kelebihan kepada mereka memasuki perlawanan terakhir Kumpulan B. Team Melli pastinya berharap dapat melakar kemenangan ke atas Amerika Syarikat pada awal pagi 30 November.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram