Penjaga gol muda pasukan Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim dikatakan telah pun menerima satu tawaran rasmi oleh sebuah pasukan gergasi Liga Super.
Beliau yang juga merupakan penjaga gol bawah 23 tahun negara sedang menikmati musim terbaiknya bersama Terengganu apabila menjadi pilihan utama untuk mengawal pintu gol pasukan.
Walau bagaimanapun, kecemerlangan pemain berketinggian 1.92 cm ini sudah tentu menarik perhatian daripada kelab lain untuk mendapatkan khidmatnya.
Menerusi satu kenyataan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, beliau telah pun mengesahkan bahawa Rahadiazli ada menerima satu tawaran rasmi daripada sebuah kelab gergasi Liga Super.
Namun begitu, dalam sesi live tersebut, Zulhelmi tidak mendedahkan nama pasukan yang sedang berusaha mendapatkan khidmat pemain ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa keputusan pemain ini juga bakal dipengaruhi oleh individu yang bakal melatih pasukan pantai timur itu pada musim hadapan.
Ketika ini, khidmat ketua jurulatih, Nafuzi Zain juga masih tidak diputuskan sama ada kekal bersama pasukan atau tidak kerana semuanya bergantung kepada pencapaian Terengganu pada musim ini.
Rahadiazli yang mencatatkan 4 rekod tanpa bolos musim ini difahamkan kontraknya tamat pada bulan November ini sekaligus khidmatnya boleh didatangkan secara percuma.