Rahsia ASEAN All-Stars ‘Celah Gigi’ Amorim
MakanBola
Manchester United FC

Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui tahu tentang rahsia lawan mereka, ASEAN All-Stars menjelang aksi persahabatan pada 28 Mei.

Ini selepas beliau mendedahkan salah seorang staf kejurulatihannya pernah bekerja di Malaysia semasa memulakan karier sebagai jurulatih.

“Contohnya, saya ada seorang staf kejurulatihan yang pernah berada di Malaysia satu ketika dahulu.

“Jadi, seperti yang anda tahu, beliau seorang lelaki Portugis yang pernah berada di Malaysia 10 tahun lalu,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.

Meskipun Amorim tidak menyatakan siapa individu berkenaan, penyokong KL City FC mengenalinya sebagai Emanuel Ferro.

Ferro menjadi penolong jurulatih kepada dua bekas jurulatih The City Boys, Stanislav Lieskovsky dan rakan senegara, Ricardo Formosinho dari 2013 hingga 2014.

Selepas merantau ke Tunisia sebagai pengarah akademi Esperance, beliau kembali ke Sporting Lisbon pada 2015. Sejak itu, kedudukan Ferro berubah dari jurulatih skuad remaja kepada jurulatih skuad senior pasukan itu.

Beliau kemudiannya menjadi sebahagian daripada staf Sporting yang mengikut jejak Amorim ke Old Trafford pada November 2024.