Raja Belanda, Raja Williem-Alexander menzahirkan rasa sukacita melihat Curacao meraih mata pertama dalam sejarah Piala Dunia.
Pencapaian itu dicapai anak buah Dick Advocaat dengan mengikat Ecuador tanpa jaringan dalam aksi kedua Kumpulan E pada Ahad.
Pencapaian cemerlang negara pulau itu menggembirakan Willem-Alexander yang juga ketua negara Curacao. Ini kerana Curacao antara beberapa negara yang menjadikan Raja Belanda sebagai ketua negara.
Baginda mencemar duli menonton perlawanan tersebut di Stadium Arrowhead, Kansas City dengan memakai jersi pasukan berkenaan.
Turut hadir menonton perlawanan sama ialah isteri baginda, Permaisuri Maxima dan puteri bongsu pasangan itu, Puteri Ariane.
Selepas tamat perlawanan, mereka mengadakan lawatan ke bilik persalinan Curacao dan beramah mesra dengan para pemain dan staf kejurulatihan pasukan itu.
Aksi Curacao-Ecuador bukan satu-satunya perlawanan Piala Dunia yang disaksikan Willem-Alexander. Sebelum itu, rombongan diraja singgah di Houston untuk menonton perlawanan kedua Kumpulan F antara Belanda dan Sweden.
Kem Belanda ceria apabila membelasah pasukan Scandinavia itu 5-1 di Stadium NRG, Houston.