Pemain sayap lincah, Ramadhan Saifullah kekal bersama Kuching City FC pada musim depan.
Sebelum ini, pemain sayap berusia 24 tahun itu menyertai The Cats secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam tetingkap perpindahan kedua musim 2024/25.
Perpindahan tersebut membantu Ramadhan mempamerkan prestasi terbaiknya di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak.
Beliau merekodkan 16 penampilan, lima gol dan dua bantuan gol dalam semua kejohanan buat Kuching City. Ramadhan turut membantu The Cats menamatkan musim di tangga keempat.
Kini, pengurusan Kuching City memaklumkan beliau menyertai pasukan itu secara perpindahan tetap. Ini selepas pengurusan Harimau Selatan melepaskan Ramadhan baru-baru ini.
“Selepas tamat kontraknya bersama Johor Darul Ta’zim, Ramadhan Saifullah memilih untuk terus bersama Kuching City FC dengan status yang berbeza.
“Ramadhan telah menunjukkan prestasi cemerlang bersama Kuching City FC dan menjadi antara watak penting dalam kejayaan pasukan itu pada musim lalu.
“Semoga Ramadhan terus menyinar dan melakar lebih banyak kejayaan bersama Kuching City FC,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Perpindahan ini menjadikan Ramadhan rekrut pertama Aidil Sharin untuk menghadapi musim 2025/26.
The Cats dijangka lebih sibuk mengenal pasti pemain baharu terutama pemain import. Ini selepas kelab itu melepaskan beberapa tonggak import seperti Nando Welter dan Tchetche Kipre.