Bekas penyerang KL City FC, Tchetche Kipre antara tiga tonggak import yang dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Super, Penang FC.
Sebelum ini, Pengurus Besar Penang, Jeffrey Chew memaklumkan antara ciri yang dicari untuk tonggak import bagi menghadapi musim depan ialah memiliki pengalaman dalam Liga Malaysia (Liga M).
Ini dibuat atas kehendak pengendali pasukan itu, Wan Rohaimi Wan Ismail selepas menilai prestasi Penang dalam separuh kedua musim 2024/25.
“Beberapa pemain import akan masuk. (Mereka) juga memiliki pengalaman beraksi dalam Liga Super. Mungkin seorang atau dua sebagai penyerang,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam baru-baru ini.
Kini, wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran memaklumkan Kipre antara nama yang diintai pengurusan Sang Harimau Kumbang.
“Penang difahamkan semakin hampir mendapatkan penyerang Ivory Coast, Tchetche Kipre. Pada usia 37 tahun, khidmatnya sebagai tonggak import terus menjadi buruan di Malaysia,” katanya di X.
Avineshwaran turut memaklumkan dua lagi tonggak import Brazil dilaporkan bakal menyertai Penang iaitu Thiago dan Danilo. Walau bagaimanapun, tiada maklumat didedahkan tentang kedua-dua pemain itu.
Musim 2024/25 menyaksikan Kipre beraksi untuk Kuching City FC. Beliau membantu pasukan itu menamatkan musim di tangga keempat liga.
Kipre merekodkan 25 penampilan, lima gol dan tujuh bantuan gol sepanjang bersama The Cats.