Pemain skuad kebangsaan Indonesia, Ramadhan Sananta sah bakal mewarnai saingan Liga Super Malaysia bagi musim 2025/2026.
Ramadhan yang mempunyai 12 kaps antarabangsa bersama Indonesia itu telah bersetuju untuk menyertai kelab Brunei, DPMM FC sebagai pemain kuota Asia Tenggara.
Perkara tersebut telah diumumkan sendiri oleh pihak pengurusan DPMM melalui laman sesawang rasmi kelab tersebut.
“DPMM FC telah memperoleh pemain kuota ASEAN, kerana Ramadhan Sananta telah bersetuju untuk menyertai pasukan Brunei bagi musim 2025/2026. Ramadan menerima tawaran daripada beberapa pasukan besar Indonesia namun pilihan pertamanya adalah pergi ke DPMM FC Brunei Darussalam.
“Liga Malaysia 2025/2026 akan bermula sekitar pertengahan Ogos, 2025 dan kami telah mendapat perjanjian dengan Ramadhan Sananta. Ramadhan akan ke Brunei bersama keluarganya,” umum DPMM.
Sepanjang musim 2024/2025, Ramadhan yang beraksi untuk Persis Solo telah meledak 5 jaringan dalam 29 aksi bersama kelab tersebut.
DPMM telah mengumumkan bakal menyertai Liga Super musim 2025-2026 selepas meninggalkan Liga Singapura yang akan tamat tidak lama lagi.