Ranking jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
Semakan terbaru ranking Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) menyaksikan beliau kini menduduki tangga ke-79.
Zii Jia merekodkan peningkatan ranking sebanyak 24 anak tangga. Ini berlaku selepas beliau mengalahkan jaguh India, H.S Prannoy dalam pusingan pertama Indonesia Masters.
Perkembangan ini menunjukkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu semakin menunjukkan peningkatan dari segi prestasi.
Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek menyifatkan sekiranya trend ini diteruskan, ini bakal menyuntik keyakinan Zii Jia bila beraksi di gelanggang.
“Sebelum ini mungkin daripada segi latihan, persiapan masih tak cukup. Jadi mungkin ada sebulan atau dua bulan lagi dari segi persiapan dia, prestasi dia akan lebih meningkat.
“Walaupun dia pergi ke kejuaraan-kejuaraan yang kecil, sedikit sebanyak boleh dapat meningkatkan tahap permainan dia.
“Dan semoga bolehnya kalau dia boleh dapat kejuaraan, lagi baguslah. Lagi boleh tingkatkan lagi motivasi dan semangat dia,” katanya kepada Nadi Arena.
Zii Jia kini fokus mengharungi saingan Thailand Masters. Bekas juara Thailand Open itu mara ke peringkat suku akhir selepas menewaskan wakil India, Mithun Manjunath.
Ini juga kali pertama beliau beraksi di peringkat suku akhir sejak saingan Orleans Masters pada 2025.