Raul Parra Tinggalkan JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain pertahanan Sepanyol, Raul Parra sah meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas hanya bersama pasukan itu selama satu musim.

Bek kanan berusia 26 tahun itu kini beraksi untuk kelab Slovenia, NK Bravo. Perpindahan itu juga turut menamatkan spekulasi Parra kembali ke Sepanyol selepas diintai pasukan Real Zaragoza.

“Pemain pertahanan Sepanyol berusia 26 tahun, Raul Parra, akan datang ke Ljubljana, membawa bersamanya pelbagai pengalaman daripada bola sepak Sepanyol dan antarabangsa ke pertahanan Bravo.

“Raul, selamat datang ke Ljubljana dan selamat datang ke Bravo!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Perpindahan ini sekali gus menamatkan teka-teki tentang kedudukan Parra bersama JDT. Hal ini ditambah dengan langkah Harimau Selatan mendapatkan bek kanan Equatorial Guinea, Carlos Akapo.

Meskipun hanya sempat bersama JDT selama semusim, Parra sempat menjulang trofi Liga Super dan Piala Malaysia bersama pasukan itu. Bekas bek kanan Cadiz itu juga membantu JDT layak ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim lalu.

Parra antara 11 pemain baharu yang menyertai Bravo musim ini. Selain bekas pemain Estoril itu, kelab itu turut merekrut penjaga gol veteran, Matjaz Rozman.