Razman Roslan Tegur Pengadil Aksi Al-Ahli vs JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan menegur tindakan pengadil Jordan, Adham Makhamdeh berhubung insiden membabitkan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo da Silva.

Aksi suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) antara Al-Ahli dan JDT terhenti seketika pada separuh masa pertama.

Ini selepas Jairo tidak sedarkan diri selepas kepalanya terkena kaki pemain Al-Ahli, Ali Majrashi ketika cuba merebut penguasaan bola.

Insiden itu menyebabkan pasukan perubatan kedua-dua pasukan memberi bantuan kecemasan kepada beliau sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

Apabila diminta mengulas tentang insiden berkenaan, Razman berpandangan Adham seharusnya mengutamakan kebajikan pemain yang cedera terlebih dahulu daripada isu disiplin pemain.

Razman merasakan situasi Jairo patut diutamakan sebelum melayangkan kad merah kepada Ali berhubung insiden berkenaan.

“Tetapi dalam kes ini, saya lebih kepada mempersoalkan keputusan pengadil. Dia lebih peka kepada orang yang melakukan kesalahan daripada yang tercedera,” katanya semasa menjadi panel program Astro Arena, XI Sebelas Utama.

“Dia sepatutnya mengambil berat yang tercedera daripada pemain yang melakukan kesalahan. Dia lebih nak tahu pemain nombor jersi berapa, bagi kad masa pemain itu sedang baring.

“Bagi saya, itu tidak meletakkan tahap profesional yang betul. Dia sepatutnya peka dengan keadaan semasa, panggil dahulu pasukan perubatan secepat mungkin dan setelah itu, barulah nak beri kad ke apa.”

Susulan insiden itu, Jairo kemudiannya menerima 30 jahitan pada bahagian atas bibirnya sebelum dibenarkan keluar hospital.

Pengurusan Al-Ahli dan Ali turut menziarahinya untuk bertanya khabar dan mendoakan agar beliau cepat sembuh.

Adham merupakan sebahagian daripada kumpulan pengadil Asia yang dipilih Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk tugasan Piala Dunia 2026.