Kelab gergasi England, Man Utd mengalami kekalahan pra-musim kedua di Amerika Syarikat apabila tunduk 2-0 kepada pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid di Stadium NRG, Houston hari ini.
United ingin bangkit selepas melihat skuad muda mereka dimalukan 3-1 oleh kelab baru League Two, Wrexham semalam.
Bagaimanapun, anak-anak buah Erik ten Hag bermula dengan langkah kiri apabila jeneral tengah England, Jude Bellingham menyumbat gol buat Los Blancos pada minit keenam.
Gol awal berkenaan mendorong Red Devils berusaha mencari gol penyamaan. Malangnya, penyudah tumpul di bahagian serangan memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, United terus mengancam pertahanan Madrid. Peluang terbaik mereka hadir menerusi pemain sayap Argentina, Alejandro Garnacho pada minit ke-62.
Malangnya, bekas pemain Atletico Madrid itu kecewa apabila sepakan lencongnya dari luar kotak penalti berjaya ditepis Andriy Lunin.
Bekas penyerang Newcastle United, Joselu memastikan kemenangan Madrid menerusi sepakan akrobatik menewaskan penjaga gol baru Red Devils, Andre Onana pada minit ke-89.
Ten Hag berharap untuk baki tiga perlawanan pra-musim United, mereka dapat kembali ke landasan kemenangan. Selepas ini, Red Devils bakal berdepan Borussia Dortmund pada 31 Julai, Lens (5 Ogos) dan Athletic Bilbao (6 Ogos).
Mereka kemudiannya akan memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Wolverhampton Wanderers pada 15 Ogos.