Penjaga gol Palestin, Saleem Al-Ashqar yang berusia 32 tahun dilaporkan terbunuh di Semenanjung Gaza awal minggu ini selepas ditembak oleh tentera Israel di pekan Al-Qarara, timur laut Khan Younis dalam satu kenyataan Palestinian Football Association (PFA).
Dalam kenyataannya, PFA memaklumkan bahawa Al-Ashqar yang berusia 32 tahun merupakan antara ratusan atlet sukan Palestin yang terkorban sejak tercetusnya perang di Gaza pada Oktober 2023. Menurut laporan PFA, lebih 1,000 atlet Palestin telah terbunuh, termasuk 567 individu daripada komuniti bola sepak.
Menurut sumber laman web rasmi PFA turut mendedahkan bahawa Al-Ashqar baru mendirikan rumah tangga lima bulan lalu dan isterinya kini sedang hamil anak pertama mereka. Beliau juga merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya yang mempunyai tujuh orang adik-beradik perempuan.
Sepanjang karier bola sepak domestiknya, Al-Ashqar pernah mewakili beberapa kelab di Semenanjung Gaza termasuk kelab Al-Aqsa dan kelab Al-Masdar.
Pemergian beliau mencetuskan kesedihan yang amat dirasai dalam kalangan ahli keluarga, rakan sepasukan serta rakyat Palestin dan masyarakat dunia.
Kelab bola sepak Chile, Club Deportivo Palestino, turut menzahirkan ucapan takziah menerusi kenyataan pada Rabu.
“Kami amat berdukacita atas pemergian tragis penjaga gol Palestin berusia 32 tahun, Saleem Al-Ashqar. Beliau terbunuh akibat tindakan tentera Israel. Kami sedih melihat insiden seperti ini terus berlaku dan menyeru agar keadilan serta keamanan dapat ditegakkan.”