Rekod pertemuan Lee Zii Jia dan juga dua lawannya di peringkat kumpulan Sukan Olimpik menyaksikan memihak wakil Malaysia itu.
Bagi Sukan Olimpik kali ini, Zii Jia telah diundi berada di dalam kumpulan G bersama Viren Nettasinghe dari Sri Lanka dan juga pemain berusia 39 tahun dari Sepanyol iaitu Pablo Abian.
Berdasarkan ranking, jelas Zii Jia memiliki kelebihan besar dengan kedudukannya yang kini berada di tangga ke-7 dunia mengikut senarai kemas kini yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara lawan Zii Jia di peringkat kumpulan, Veran Nettasinghe pula menghuni ranking ke-72 dan Pablo Abian dari Sepanyol berada 9 kedudukan lebih tinggi, di tangga ke-63 dunia.
Berdasarkan rekod lalu, anak jati kelahiran Kedah ini telah merekodkan satu kemenangan dalam satu pertemuan berdepan Pablo Abian ketika di Hylo Open 2021 dengan keputusan 21-11, 21-23, 24-22.
Manakala, tiada rekod pertemuan dicatatkan di antara Zii Jia dan Veran Nettasinghe dengan aksi di temasya Sukan Olimpik ini bakal menjadi pertembungan pertama buat kedua-dua pemain.
Tahun 2024 menyaksikan Zii Jia pamer persembahan lebih konsisten dengan merangkul 2 kejuaraan di Thailand Open dan Australian Open selain mara ke final Malaysia Masters 2024 sebelum tewas kepada Viktor Axelsen.
Lee Zii Jia bakal membuka gelanggang di Sukan Olimpik bertemu Viren Nettasinghe pada 28 Julai ini di Arena La Chapelle.