Perbezaan ranking dunia membabitkan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan dua lawannya di peringkat kumpulan Sukan Olimpik 2024 menjadi bualan ramai.
Peringkat kumpulan untuk acara perseorangan lelaki menemukan Zii Jia dengan wakil Sepanyol, Pablo Abian dan jaguh Sri Lanka, Viren Nettasinghe. Perbezaan ranking ketiga-tiga pemain ini yang menjadi bualan.
Ini kerana Zii Jia berstatus pemain nombor tujuh dunia. Sementara Abian dan Nettasinghe pula masing-masing menduduki ranking ke-63 dan 72 dunia.
Tahun 2024 menyaksikan Zii Jia menunjukkan prestasi jauh lebih baik berbanding pada tahun 2023. Tahun ini menyaksikan beliau bergelar juara Thailand Open 2024 dan Australian Open 2024.
Zii Jia juga berjaya mara ke final Malaysia Masters 2024 sebelum terpaksa akur dengan kehebatan jaguh nombor satu dunia, Viktor Axelsen di final.
Meskipun berstatus pemain ke-72 dunia, Nettasinghe telah menunjukkan peningkatan dari segi ranking sejak tahun 2022. Bermula dari kedudukan ke-773 pada 2022, pemain berusia 21 tahun itu merekodkan peningkatan ranking ke kedudukan ke-150 (Mac 2023) dan ke-72 (April 2024).
Abian pula berstatus veteran Sukan Olimpik kerana telah menyertai temasya itu sebanyak empat kali. Pemain berusia 39 tahun itu turut segar daripada kejayaan bergelar juara Swedish Open 2024 dan Nantes International Challenge 2024.
Walaupun mendapat laluan mudah di peringkat kumpulan, Zii Jia dijangka fokus untuk membantu Malaysia menamatkan penantian pingat emas pertama negara.
Beliau bakal membuka kempen kumpulan dengan menentang Nettasinghe pada 28 Julai ini.