Rekod Urawa Reds Amat Teruk, Namun JDT Perlu Berhati-Hati
MakanBola
Urawa Reds & JST

Pertembungan sensasi pusingan kalah mati yang melibatkan juara dua kali Asia, Urawa Red Diamonds dan juga Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka bakal berlangsung sengit.

Melihat kepada rekod semasa kedua-dua pasukan, kelebihan tidak hanya berada pada pasukan dari Jepun itu tatkala prestasi memberangsangkan pasukan Harimau Selatan juga tidak kurang hebatnya.

JDT kini berada di bawah tampuk pimpinan baharu iaitu Hector Bidoglio terus mengekalkan rentak cemerlang apabila masih belum tewas dalam mana-mana pertembungan.

Malah, mereka juga berjaya mencetak 11 gol dalam 2 perlawanan sekaligus membuktikan impak segera yang dibawa oleh jurulatih kelahiran Argentina itu ke dalam pasukan.

Ketika ini, juara bertahan Liga Super ini mencatatkan rekod tanpa kalah dalam 44 perlawanan di tempat lawan sekaligus berpeluang untuk dilebarkan ketika berkunjung ke Jepun nanti.

Sebaliknya, Urawa Reds kini dibelenggu dengan prestasi tak menentu terutamanya dalam saingan liga.

Selepas mengharungi 24 perlawanan sejak 1 Jun yang lalu, pasukan kendalian Ricardo Rodriguez hanya mencatatkan 7 kemenangan.

Prestasi ini jelas berada di bawah tahap dan juga kemampuan sebenar pasukan yang sentiasa tampil dengan cukup gah di pentas Asia.

Malah, rekod 11 seri dan juga 6 kali tewas membuktikan terdapat beberapa kelemahan dan juga kelompongan yang boelh dimanfaatkan oleh barisan pemain JDT.

Sungguhpun begitu, JDT tidak boleh mengambil mudah apabila turun berdepan pasukan yang sudah berpengalaman luas di pentas tertinggi bola sepak Asia ini dalam usaha untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Pertembungan hangat ini dijadualkan berlangsung di Stadium Shibuya pada 19 Ogos ini sekaligus berpeluang untuk melihat sejarah tercipta sekiranya JDT berjaya melangkah ke peringkat seterusnya.