Bekas penolong jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Akar Umbi Kelantan United FC.
Pengumuman dibuat oleh pengurusan Kijang Hijau menerusi laman media sosial mereka hari ini. Ia turut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Rezal yang mempunyai pengalaman luas sebagai pemain dipertanggungjawabkan untuk menambahbaik program akar umbi dan pembangunan pemain pasukan.
Bekas pemain Negeri Sembilan FC itu bukan saja perlu memantau aspek teknikal semata-mata.
Malah, Rezal juga perlu memantau perlaksanaan keseluruhan program akar umbi Kelantan United FC di negeri Kelantan.
“Pihak pengurusan Kelantan United FC percaya beliau berupaya membawa perubahan kepada program pembangunan bermula dari program akar umbi seterusnya mampu mengetengahkan bakat ke peringkat yang lebih tinggi,” kata pihak pengurusan dalam satu kenyataan.
Rezal melihat perubahan tanggungjawab ini sebagai satu tugas yang sukar tetapi beliau bersedia merealisasikan agenda besar Kelantan United FC.
“Perubahan memang sukar tetapi jika anda tidak berubah, anda tidak akan melakukannya. Perubahan itu tidak dapat dielakkan, hanya terima, fikir secara positif dan teruskan… Terima kasih Kelantan United,” katanya secara ringkas di Instagram.