Selepas ramai pemain Kelantan FC meninggalkan pasukan itu, giliran Rezal Zambery Yahya pula berbuat demikian. Rezal yang memegang status penolong jurulatih sah meninggalkan The Red Warriors (TRW) hari ini.
Berita ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi. Difahamkan bekas pemain Negeri Sembilan FC itu meninggalkan kelab secara persetujuan bersama dengan pihak pengurusan.
Dilantik sebagai penolong jurulatih kepada jurulatih San Marino, Marco Ragini pada 2021, Rezal kemudiannya dilantik sebagai jurulatih interim untuk musim 2022.
Pada musim tersebut, bekas pemain Johor FC itu membantu TRW menjadi naib juara Liga Perdana. Selepas Choi Moon-sik dilantik sebagai jurulatih baru Kelantan FC untuk musim 2023, Rezal kembali mengambil peranan sebagai penolong jurulatih.
Bagaimanapun, prestasi buruk Kijang pada awal musim ini mengakibatkan Moon-sik dipecat dan Rezal kembali sebagai jurulatih interim. Setelah Frank Bernhardt diumumkan sebagai pengganti Moon-sik, beliau terus membantunya sebagai penolong jurulatih.
Dengan pengumuman tersebut, ini menjadikan kekalahan 5-0 Kelantan FC di tangan Sri Pahang FC pada 23 Jun lepas sebagai perlawanan terakhir Rezal di bangku kejurulatihan TRW.
Ironinya, itulah juga perlawanan terakhir Bernhardt sebagai pengendali Kelantan FC sebelum digantikan oleh jurulatih Argentina, Angel Alfredo Vera.