Risto Vidakovic Bakal Tinggalkan KL City?
MakanBola
KL City FC

Jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Risto Vidakovic memberi bayangan perlawanan Liga Super menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW) sebagai perlawanan terakhirnya bersama pasukan itu.

Sebelum ini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan nama bekas jurulatih Lion City Sailors (LCS) itu tiada dalam senarai rasmi KL City untuk perlawanan itu.

Ketiadaan nama Vidakovic menimbulkan rasa hairan dalam kalangan penyokong kerana beliau dilihat meninjau padang Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) sebelum perlawanan.

Selepas tamat perlawanan, jurulatih Serbia berumur 57 tahun itu memberi bayangan bahawa beliau tidak akan membimbing The City Boys selepas ini.

“Mereka bermain dengan bagus kerana saya tidak akan menjadi jurulatih mereka lagi. Mereka bermain untuk saya dan saya amat menghargainya.

“Saya tiada apa nak perkatakan kerana ia satu situasi yang mengelirukan. Tiada siapa faham apa sebenarnya yang berlaku.

“Kita terima dan kita lakukan tugas kita. Mari kita lihat apa yang akan berlaku pada hari esok (11 April),” katanya.

KL City melupakan kekecewaan tersingkir di peringkat separuh akhir Piala Malaysia dengan menewaskan Kelantan TRW 2-0.