Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend dan Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan, Craig Duncan mula melapor diri di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
31 Disember lalu, Rob Friend diumumkan selaku CEO baharu dan yang pertama untuk skuad Harimau Malaya dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman web rasmi badan induk itu
Tidak lama selepas itu, FAM turut memperkenalkan Craig Duncan yang juga bekas doktor berpengalaman luas selaku Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan buat skuad negara.
“FAM hari ini mengumumkan Dr. Craig Duncan dari Australia sebagai Ketua Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan,” umum badan induk itu 2 Januari lalu.
Kedua-dua individu hebat ini telah pun menjalankan tugas mereka apabila pencetus revolusi Harimau Malaya, DYAM Tunku Ismail, memuat naik sebuah foto bersama sebelum ini.
Foto yang dimuat naik itu juga disertakan bersama makluman terkini tentang usaha pencarian pemain warisan dari Malaysia dan dikhabarkan 7 orang pemain sudah berjaya dikenal pasti.
Terkini, dalam satu hantaran oleh FAM menyaksikan kelibat Rob Friend dan Craig Duncan sudah tiba ke Wisma FAM dan disambut baik oleh Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Hj Rahman.
“Selamat datang ke FAM,” ucap badan induk bola sepak negara itu.
Rob Friend dan Craig Duncan kini mempunyai tugas penting bagi mempersiapkan skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski menjelang saingan Kelayakan Piala Asia 2027.
Lawan pertama pasukan negara adalah negara di ranking ke-175 dunia, Nepal pada 25 Mac hadapan sebelum menentang Vietnam pada Jun 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil.