Penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado sah menyertai Coquimbo Unido secara pinjaman sehingga Jun 2026.
Perpindahan pinjaman penyerang berusia 30 tahun itu diumumkan pengurusan kelab Chile itu menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.
“Rodrigo Holgado kembali ke kelab yang sentiasa menjadi rumahnya, rumah di mana sejarah dilakar bersama dengan keluarga Aurinegro.
“Sebagai sebuah kelab, kami akan menemani anda sepanjang proses, tidak kira keputusan apa pun dengan keyakinan seluruh wilayah menjadikan anda hebat,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Perpindahan ini sekaligus menamatkan desas-desus tentang destinasi Holgado selepas beliau tidak akan bersama America de Cali untuk musim 2026.
Ini bukan kali pertama penyerang kebangsaan itu bersama Coquimbo Unido. Sebelum ini, Holgado pernah menyarung jersi pasukan itu pada 2023.
Holgado dijangka berpeluang berentap dengan bekas penyerang Selangor FC, Ronnie Fernandez dalam saingan Liga de Primera.
Penyerang berusia 35 tahun itu kini mewakili kelab CD Palestino selepas meninggalkan Selangor pada akhir musim 2024/25.