Penyerang baharu Harimau Malaya, Rodrigo Holgado meluahkan rasa gembira selepas membantu Malaysia menumbangkan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa.
Holgado yang merupakan penyerang kelab Colombia, America De Cali memberi bayangan dalam perjalanan pulang ke Colombia usai membantu Malaysia menang ke atas Vietnam.
“Pulang ke rumah (Colombia) dengan gembira dan banyak cabaran serta impian yang ingin dicapai,” coret Holgado di Instagram Story miliknya sambil meletakkan bendera Colombia di akhir coretan.
Holgado merupakan salah seorang pemain yang menjaringkan dalam aksi tumpuan di antara Malaysia dan Vietnam pada Selasa.
Penyerang berusia 29 tahun itu meledak jaringan pada minit ke-59 selepas menyempurnakan hantaran lolos daripada Arif Aiman di bahagian kanan.
Jaringan tersebut merupakan jaringan pertama Holgado selepas proses pendaftaran beliau dan empat pemain warisan lagi diluluskan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Tiga lagi jaringan Malaysia telah dihasilkan oleh Joao Figueiredo, Corbin Ong dan juga Dion Cools. Kemenangan besar 4-0 ini sekali gus menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan Malaysia ke atas Vietnam.