Penyerang Harimau Malaya, Romel Morales menceriakan Ekor Harimau Malaya dengan meledakkan jaringan semasa menentang Lubnan.
Malaysia berdepan cabaran Lubnan di pentas final Pestabola Merdeka 2024. Pertembungan kedua-dua pasukan ini bertujuan menentukan siapa juara untuk edisi kali ini.
Morales, penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan kapten Terengganu FC, Safawi Rasid menjadi sandaran Pau Marti Vicente untuk merobek gawang The Cedars.
Penyerang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) itu membalas kepercayaan jurulatih Sepanyol itu dengan meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-33.
Morales pantas menyudahkan hantaran pemain tengah Ho Chi Minh City FC, Endrick dos Santos yang menewaskan penjaga gol Lubnan, Mahdi Khalil.
Ini gol kedua bekas penyerang KL City FC itu bersama skuad negara dalam lima perlawanan sejak membuat kemunculan pertama pada 15 Januari 2024. Ini turut menunjukkan bahawa prestasi jaringannya bersama Harimau Selatan diteruskan bersama skuad kebangsaan.
Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 menyaksikan Morales sudah meledakkan tujuh gol buat JDT dalam 11 perlawanan. Beliau juga sudah meraih trofi pertama musim ini dengan membantu JDT bergelar juara Piala FA 2024.
Ketika ini, Malaysia masih mendahului 1-0 dengan perlawanan kini memasuki separuh masa kedua.