Bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim mendedahkan beliau secara tidak langsung membantu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjadi beregu berstatus juara dunia.
Anekdot itu dikongsikan Roslin semasa menjadi tetamu The Bang Med Show di Astro Arena baru-baru ini.
Pada 2012, Roslin menggalas tugas sebagai jurulatih perseorangan lelaki di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ). Antara pemain yang dilatihnya pada ketika itu ialah Wooi Yik dan Lee Zii Jia.
Beberapa tahun selepas itu, Wooi Yik mencari bekas pemenang pingat emas Sukan SEA 2001 untuk meminta pandangannya sama ada beliau patut beraksi dalam acara perseorangan atau beregu lelaki.
Ini kerana bekas juara dunia 2022 itu sudah beraksi dalam acara beregu lelaki selama beberapa tahun. Sebaik mengetahui dilema yang dihadapi bekas anak didiknya itu, Roslin menasihati Wooi Yik agar mengikut apa yang sesuai untuk dirinya.
“(Saya nasihatkan Wooi Yik), ‘Anda hanya perlu teruskan (kalau anda suka).’ Sebab kita sebagai pemain, kita memang ada pilihan nak perseorangan atau beregu,” katanya.
“Sebab saya cakap dengan dia, pemain beregu itu pun asalnya pemain perseorangan. Tiada orang yang lahir dan main beregu sampai ke sudah, main dengan orang yang sama.”
Roslin turut melihat dengan pencapaian yang dilakar Wooi Yik dalam acara beregu, maka molek baginya untuk mempertimbang secara serius acara berkenaan.
“Jadi, saya cakap dengan dia, ‘Anda sudah ada pencapaian. Mungkin selepas ini, anda akan bergandingan dengan pemain lain,'” tambahnya.
“‘Tetapi kalau anda terpilih ke skuad kebangsaan, mungkin atas pencapaian anda sebagai pemain beregu. Jadi, anda hanya perlu teruskan sebab anda buat apa yang anda suka.'”
Sejak itu, Wooi Yik tidak menoleh ke belakang dan mula menempa namanya sebagai pemain beregu terkemuka bersama Aaron.
Selain bergelar juara dunia 2022 dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, mereka turut meraih gelaran juara Denmark Open 2023 dan Korea Masters 2024.