Ross County Jadi Destinasi Baharu Richard Chin di Scotland
MakanBola
Ross County FC

Pemain sayap warisan Malaysia, Richard Chin, kini memulakan cabaran baharu di Scotland setelah sah menyertai Ross County dari Raith Rovers.

Pemain berusia 23 tahun itu berhijrah ke The Staggies selepas musim yang konsisten bersama Raith Rovers, di mana beliau kerap menjadi pilihan utama dengan 29 penampilan di bahagian sayap.

Richars Chin sebelum ini dibentuk di akademi Charlton Athletic dan sempat merasai aksi bola sepak profesional di England apabila membuat 17 penampilan bersama kelab itu dalam saingan League One serta EFL Trophy.

Sebelum berpindah ke Scotland, beliau turut mengumpul pengalaman luas di National League South bersama Dartford, Bath City dan Farnborough, selain menjaringkan 11 gol sepanjang tempoh tersebut.

Menariknya, Chin yang juga pemain antarabangsa Malaysia kini meneruskan perkembangan kariernya di Scotland, dengan Ross County dilihat sebagai pentas baharu untuk beliau menyerlah.

Pengurus Ross County, Stuart Kettlewell, menyambut baik ketibaan pemain muda itu dan percaya Chin mampu memberi dimensi baharu kepada jentera serangan pasukan.

“Dia pemain sayap yang sangat menarik, laju dan boleh menembusi pertahanan lawan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Dia juga boleh bermain di beberapa posisi di bahagian serangan dan mempunyai naluri gol yang baik.

“Pengalamannya dalam bola sepak Scotland sangat penting untuk adaptasi di sini.

“Saya yakin dia akan beri impak dan menghiburkan penyokong kami.”