Bekas jurulatih Manchester United, Ruben Amorim semakin hampir mendapat kerja baharu selepas dipecat kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan jurulatih Portugal itu semakin hampir memuktamadkan persetujuan dengan kelab gergasi Itali, AC Milan.
Amorim dilaporkan bersetuju dengan syarat-syarat yang dikemukakan kelab yang diberi jolokan Rossoneri itu. Beliau juga menunggu lampu hijau daripada pengurusan Milan untuk memuktamadkan perjanjian.
Sekiranya semua berjalan lancar, Amorim akan menjadi pengganti pengurus sebelumnya, Massimiliano Allegri di San Siro.
Selain bekas jurulatih Sporting Lisbon itu, pengurusan Milan juga dilaporkan mengintai khidmat jurulatih Al-Ahli, Matthias Jaissle sebagai calon pengganti Allegri.
Meskipun begitu, Rossoneri membatalkan hasrat mendapatkan jurulatih Austria itu. Ini kerana Al-Ahli mahukan pampasan kewangan buat mana-mana kelab yang berminat mendapatkan Jaissle.
Ini ditambah dengan impak beliau yang membantu kelab Arab Saudi itu muncul juara Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dua musim berturut-turut.
Berita ini juga dijangka melegakan pengurusan United menurut wartawan sukan Daily Telegraph, James Ducker. Sebelum ini, The Red Devils perlu bersedia mengeluarkan pampasan berjumlah £15.9 juta (RM86.5 juta) kepada Amorim dan barisan staf beliau selepas dipecat.
Meskipun begitu, bil pampasan dijangka berkurangan secara signifikan sekiranya Amorim memikul tugas baharu di San Siro.
Lebih menarik, beliau dan United berpotensi bertemu semula lebih awal. Ini kerana Milan dan The Red Devils bakal bertemu dalam perlawanan persahabatan pramusim pada 15 Ogos ini di Poland.