Safawi Rasid Bawa Haluan Ke Kuching City
MakanBola
Kuching City FC

Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid sah berkelana ke Sarawak dengan menyertai kelab Kuching City FC.

Perpindahan anak jati Dungun, Terengganu itu diumumkan pengurusan The Cats menerusi satu hantaran video di semua platform rasmi kelab berkenaan.

“Selama berminggu-minggu, khabar angin menjadi semakin kuat. Spekulasi tersebar ke seluruh negara. Hari ini, penantian berakhir dan kebenaran akhirnya terserlah di hadapan kita.

“Salah satu bintang utama Malaysia sudah bersedia membuka lembaran baru di City of Unity. Selamat datang ke Kuching City, Safawi Rasid,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, bekas pemain Ratchaburi FC itu sudah memberi bayangan di media sosial bahawa Kuching City menjadi destinasi baharunya untuk musim 2026/27.

Safawi menjadi rekrut terbaru The Cats selepas Nazmi Faiz Mansor, Dylan Wenzel-Halls, Irfan Zakaria dan pemain tengah Jepun, Kaishu Yamazaki.

Kehadiran bekas bintang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu dijangka menambah pilihan peledak yang dimiliki jurulatih, Aidil Sharin Sahak.

Ini ditambah dengan rekod cemerlang Safawi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim lalu. Beliau menjaringkan 14 gol dan mencipta lima bantuan gol untuk KL City dalam semua kejohanan.