Safawi Rasid Kecewa Tapi Enggan Mengalah
MakanBola
Malaysia NT

Nama Safawi Rasid bukanlah nama asing dalam skuad Harimau Malaya apabila pemain kelahiran Terengganu itu pernah menjadi antara tonggak penting pasukan kebangsaan, terutama ketika berada di kemuncak prestasinya beberapa tahun lalu.

Menerusi satu hantaran di Threads, pemain berusia 29 tahun itu berkongsi perasaannya bersama foto ketika memegang trofi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK), sekali gus mengimbau kembali detik gemilang yang pernah dilaluinya.

“Saya berbangga dengan pencapaian saya, namun kecewa dengan apa yang tidak dapat saya capai. Situasi ini memang menyakitkan, tetapi ia tidak akan menghalang saya. Saya akan terus berusaha, terus memperbaiki diri, dan terus memberikan yang terbaik,” coret Safawi di Threads.

Safawi turut mengakhiri coretannya dengan menitipkan ucapan maju jaya buat skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe yang bakal mengharungi saingan Piala ASEAN FIFA.

“Semoga berjaya Harimau Malaya,” ucap Safawi yang menandakan sokongan beliau terhadap perjalanan skuad kebangsaan di Indonesia.

Luahan Safawi itu hadir ketika namanya tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan yang bakal membawa cabaran negara pada Piala ASEAN FIFA di Indonesia dari 25 September hingga 5 Oktober ini. Situasi berkenaan mungkin menjadi antara perkara yang mencetuskan rasa kecewa pemain kelahiran Terengganu itu, namun Safawi tidak menyatakan secara khusus perkara yang dimaksudkannya.

Safawi pernah menikmati kemuncak karier apabila mencipta sejarah dengan menggondol anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan sebanyak tiga tahun berturut-turut pada 2018, 2019 dan 2020. Kemampuan kaki kirinya serta kebolehannya beraksi di bahagian sayap kiri dan kanan ketika itu menjadikannya antara pemain paling menyerlah dalam bola sepak tempatan.

Namun, prestasinya kemudian melalui fasa yang lebih mencabar dan Safawi turut beberapa kali dipinjamkan ke kelab lain bagi mendapatkan peluang beraksi. Antara destinasi yang pernah disertainya ialah Ratchaburi di Thailand selain beberapa kelab tempatan seperti Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC.

Mengikut rekod di Transfermarkt, Safawi masih lagi merupakan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), namun kini dipinjamkan ke Kuching City FC untuk saingan musim 2026/2027. Menariknya, permulaan bersama The Cats memberikan petanda positif apabila dia sudah meledak tiga gol daripada enam perlawanan dalam semua kejohanan setakat ini.

Pada usia 29 tahun, Safawi masih mempunyai ruang untuk mengembalikan semula prestasi terbaiknya dan membuktikan dirinya belum selesai dalam bola sepak. Luahan terbaharunya juga memperlihatkan pemain itu tidak mahu terus melihat apa yang telah terlepas, sebaliknya memilih untuk bekerja lebih keras, memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik untuk Kuching City serta kariernya selepas ini.