Kapten pasukan Terengganu FC, Safawi Rasid berkongsikan misi utama pasukannya adalah untuk meraih tiga mata dalam aksi pertama kejohanan Asean Club Championship.
Terengganu bakal menerima kunjungan Svay Rieng FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk perlawanan pertama kumpulan A pada 21 Ogos (Rabu) ini.
Safawi Rasid yakin Terengganu sudah bersedia sepenuhnya dalam menghadapi cabaran pasukan lawan dari Kemboja itu.
“Perancangan kami adalah mengikuti kehendak taktikal dan formasi dari jurulatih untuk perlawanan ini.
“Seorang pemain yang saya kenal bagi perlawanan ini ialah Thierry Bin. Bagi kami tiada masalah kerana para pemain sudah tahu untuk menanganinya.
“Kami hanya perlu lakukan tugas kami di atas padang dan lihat pada perlawanan nanti. Kami konsisten dalam saingan liga tetapi mungkin ada sedikit masalah yang biasa terjadi dalam bola sepak.
“Terengganu sudah bersedia untuk perlawanan esok dan kami mahukan tiga mata pertama untuk kejohanan ini.” ujar Safawi menurut Harimau Malaya.
Terengganu yang berada di tangga ketiga Liga Super ketika ini bakal menerima tentangan kelab seperti Svay Rieng, BG Pathum United, PSM Makassar, Shan United dan juga Thanh Hoa FC setelah diundi dalam kumpulan A Asean Club Championship.
Sebelum ini Sang Penyu meraih keputusan seri 1-1 menentang Sri Pahang dalam saingan Liga Super pada aksi 16 Ogos yang lalu.