Lagenda bola sepak Malaysia, Safee Sali meminta agar menghentikan drama dan diskriminasi dalam bola sepak Malaysia.
Beliau dalam satu hantaran di laman sosial memberitahu dan meminta agar pihak berkepentingan tidak melakukan drama untuk memburukkan keadaan.
Bekas tonggak KL City ini memuat naik kenyataan peribadinya dan memberitahu bahawa tidak perlu melakukan sidang media untuk menjelaskan masalah yang dialami.
“Tak perlu sidang media untuk menjelaskan masalah yang dialami. Cari solusi untuk masalah yang berlaku,” ujar Safee.
Bekas penyerang kebangsaan ini juga menganggap sidang media yang diadakan tidak boleh untuk menyediakan makanan kepada mereka yang ditindas.
“Sidang media tak boleh sediakan makanan atas meja untuk mereka yang ditindas,” katanya.

Beliau juga meminta agar pihak berkepentingan dalam sesebuah kelab mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan tugas sebaik mungkin dalam arena bola sepak.
“Bila kami bersuara dikatakan mahu menjatuhkan atau memburukkan imej bola sepak sendiri tetapi bila jadi kes begini, siapa yang mahu dipertikaikan.
“Kami perhatikan dan lihat sahaja apa yang badan induk lakukan. Sila pantau dan lakukan sesuatu yang proaktif dalam menangani bab ini,” ujarnya.
Safee Sali juga memberitahu bahawa cinta dan semangatnya dalam arena sukan ini tidak akan pudar.
“Banyak lagi kelab yang gagal dalam bab gaji. Saya sudah tidak bermain dalam liga, tetapi semangat saya dalam sukan ini tidak akan pudar. Saya tahu perit jerit setiap pemain.
“Ambil tanggungjawab atau tinggalkan sukan ini. Hidup ini ada pilihan,” jelasnya.