Perkembangan terbaru menyaksikan trio terbaru JDT mencatatkan nilai pasaran tertinggi dalam kalangan pemain di Liga Super Malaysia yang mencecah sehingga RM32.5 Juta.
Skuad Harimau Selatan kini sedang aktif melakukan beberapa perubahan besar termasuklah dengan kehadiran beberapa muka baharu yang bakal memantapkan perjalanan pasukan musim 2024/25.
JDT bagaimanapun kini dalam fasa penjimatan selepas mengumumkan pengurangan perbelanjaan sekitar 40 peratus bagi musim baharu.
Sebelum ini, jaguh Selatan itu telah mengumumkan ketibaan dua bintang sensasi, Jalil Elias dan Chico Geraldes selepas pemergian beberapa watak penting pasukan.
JDT juga membuat keputusan penting untuk mengekalkan khidmat Fernando Forestieri bagi saingan musim baharu.
Menerusi kemas kini nilai pasaran di laman Transfermarkt, nilai trio JDT iaitu Jalil Elias, Chico Geraldes dan juga Jordi Amat menunjukkan tangga tertinggi.
Nilai pasaran Jalil Elias kini 3 juta Euro (RM15.44 Juta), Chico Geraldes (RM12.8 Juta) dan juga Jordi Amat setinggi 800,000 Euro (RM4.12 Juta) yang menjadikan nilai keseluruhan sebanyak RM32.5 Juta.
Jalil Elias merupakan pemain berusia 27 tahun yang melengkapkan perpindahan ke JDT dari kelab Liga Primera Argentina, San Lorenzo sementara bekas pemain Portugal b-21, Chico Geraldes beraksi bersama FC Baniyas sebelum ini.
JDT akan melakukan persiapan dengan terbang ke Portugal dan Sepanyol bagi aksi pra-musim untuk memantapkan perjalanan pasukan di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim baru.