Kelibat Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin dilihat bertegur sapa dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.
Kelibat beliau dikesan dalam satu video yang dikongsikan Infantino di platform Instagram. Selain bertegur sapa, Hamidin turut memeluk dan bergambar bersama Presiden FIFA itu.
Video itu dimuat naik selepas perlawanan pertama Kumpulan G antara Iran dan New Zealand baru-baru ini. Infantino turut menzahirkan rasa gembira melihat Team Melli beraksi dalam kejohanan berprestij itu.
“Saya sangat gembira melihat Iran beraksi di Piala Dunia. Ia sebahagian daripada sejarah kejohanan kali ini,” katanya.
“Tahniah juga kepada New Zealand kerana memberi lebih 70,000 peminat dan dunia satu perlawanan yang hebat.”
Aksi tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan saling menyerang sebelum meraih keputusan seri 2-2. Dua gol Elijah Just dipadam Iran menerusi gol Ramin Rezaiean dan Mohammad Mohebi.
Hamidin berada di Amerika Syarikat kerana memikul tugas sebagai ketua delegasi dan wakil Presiden FIFA di dua kota negara itu, Los Angeles dan San Francisco.
Beliau antara anggota Majlis FIFA yang dilantik untuk memikul tugas berkenaan sepanjang kejohanan berlangsung.