Advertisements
Sasaran Nova Widianto Terhadap Chen Tang Jie-Toh Ee Wei Dilabel Tindakan Berani
UltraSukan
UltraSukan
toh.eewei

Sasaran yang ditetapkan oleh jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto buat pasangan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei telah mendapat reaksi beberapa pihak.

Sebelum ini, Nova Widianto telah memasang impian untuk melihat anak buahnya, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berada di podium pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula pada Jun hadapan.

”Ini suatu yang positif apabila kita layak ke Sukan Olimpik, tetapi bukan hanya untuk sertai sahaja, kami mahu lebih lagi mungkin mendapatkan pingat. Kalau boleh pingat emas,” ujarnya kepada Nadi Arena pada Ahad.

”Di Sukan Olimpik tiada yang mustahil. Dengan persiapan yang baik, semua ada peluang yang sama di sana nanti,” tambah jurulatih kelahiran Indonesia itu.

Namun begitu, menurut bekas ahli jawatankuasa kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Norbakti Alias, sasaran podium yang diletakkan oleh Nova itu agak tinggi namun tidak mustahil untuk dicapai.

Beliau berkata, berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, pasangan negara sudah pernah mengalahkan hampir kesemua beregu yang berada ranking di atas mereka kecuali pasangan China di ranking nombor satu.

“Chen (Tang Jie) dan Toh (Ee Wei) ini sudah pernah mengalahkan tujuh pasangan di ranking yang lebih tinggi dari mereka kecuali Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong,” kata Norbakti Alias kepada Nadi Arena.

Tambahnya lagi, mengikut perkiraan mata ke Olimpik, hanya tujuh pasangan sahaja yang perlu menjadi perhatian Tang Jie dan Ee Wei untuk merealisasikan impian berada di podium bagi menjulang nama negara.

”Kini mereka di ranking kesembilan, jadi daripada lapan di atas mereka, cuma tujuh yang akan bermain di Paris kerana pasangan ketiga China tidak mendapat slot. Maka tujuh pasangan ini yang akan menjadi cabaran utama buat Tang Jie dan Ee Wei,” tambahnya lagi.

Tang Jie dan Ee Wei kini berada di ranking kesembilan dunia dan berada di landasan terbaik menjelang temasya Sukan Olimpik yang akan berlangsung di Paris selepas berjaya mara ke dua final dalam tujuh kejohanan pada tahun ini.

Mereka pada ketika ini berada di Ningbo, China bagi menghadapi Kejohanan Badminton Asia (BAC) pada Rabu dengan pasangan nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong bakal menjadi lawan mereka di pusingan pertama.