Pasukan Kedah bakal diperkuat dengan kehadiran tonggak import yang juga saudara kepada bintang bola sepak Thailand, Teerasil Dangda bagi menghadapi saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) divisyen 2.
Pemain import tersebut merupakan Nattawat Luksanato yang merupakan pemain futsal profesional di Thailand dan telah diumumkan sebagai salah seorang pemain import yang bakal menerajui skuad Kedah musim ini.
Info menarik ini dikongsikan oleh Arena Futsal mengenai hubungan persaudaraan di antara Nattawat dan juga pemain bola sepak terkenal Thailand, Teerasil Dangda yang beraksi buat pasukan kebangsaan dan BG Pathum United dalam saingan Thai League 1.
Nattawat memiliki pengalaman yang luas dalam arena futsal apabila pernah mewakili beberapa kelab di sekitar Asia Tenggara seperti Bangkok City, Bangkok Glass, Ayutthaya City, Vamos Mataram (Indonesia) dan MIU FC (Myanmar).
Selain itu juga, Nattawat turut pernah menyarung jersi kebangsaan Thailand dan membantu skuad Gajah Perang memenangi AFF Futsal Championship pada tahun 2012 di laman sendiri.
Ketika ini beliau dan seorang lagi pemain import, Nontawat Rakpitakwong sudah berada di Kedah dan melakukan penampilan pertama dalam aksi persahabatan menentang FC5 di Pulau Pinang yang menyaksikan kemenangan 4-3 memihak skuad Hijau Kuning.
Kedah bakal membuka tirai saingan MPFL divisyen 2 berdepan Nilai City SC pada Sabtu, 22 Jun ini sebelum turun dalam aksi kedua menentang Canaan FC sehari kemudian.
Selain Kedah, 11 pasukan lain seperti ATM, Kelantan, Malaysian University dan ramai lagi akan turut serta dalam saingan merebut kejuaraan MPFL divisyen 2 yang julung kali diadakan ini.
Format divisyen ini sedikit berbeza berbanding saingan MPFL utama apabila saingan secara sirkit berpusat di Sportizza Setapak akan dijalankan dengan setiap pasukan akan beraksi dalam 11 perlawanan.
Setiap pasukan akan mengharungi dua perlawanan pada setiap sirkit (Sirkit 1-5) dan satu perlawanan pada sirkit terakhir (Sirkit 6) yang akan berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad.