Penyerang berbisa Singapura, Ikhsan Fandi pasti merindukan perlawanan derbi menentang Malaysia selepas beliau disahkan tidak dapat beraksi untuk keseluruhan kempen Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 termasuk menentang Malaysia malam ini.
Kali terakhir Ikhsan turun bertemu skuad Harimau Malaya adalah pada perlawanan persahabatan ‘Tri Nations’ pada bulan Mac tahun lalu di mana menyaksikan Malaysia tewas tipis 1-2 kepada Singapura. Dalam perlawanan itu, Ikhsan menjadi wira Singapura dengan menjaringkan kedua-dua gol buat Singapura.
Pada perlawanan tersebut, Ikhsan meraikan gol dengan tarian yang menarik bersama adiknya. Ilhan Fandi yang dijangka akan dijadikan sandaran menjaringkan gol berdepan Malaysia.
Ikhsan baru-baru ini ada memuatnaik satu gambar di ‘instagram story’ beliau yang mana memaparkan beliau dan Ilhan sama-sama menari meraikan gol dalam perlawanan menentang Malaysia pada Mac lalu
Beliau meletakkan kapsyen bahawa beliau sebenarnya merancang mahu mengulangi tarian itu berdepan Malaysia malam ini, namun Tuhan ada perancangan lain.

Dengan ketiadaan Ikhsan di barisan serangan, jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon membayangkan pasukan SIngapura akan beraksi secara bertahan kerana mereka hanya memerlukan satu mata untuk mara ke separuh akhir.
Manakala Malaysia perlu menang dalam perlawanan malam ini untuk mara ke separuh akhir. Kedua-dua pasukan ini akan beradu kekuatan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Sepak mula dijadualkan pada 8.30 malam.