Pemain import Pahang Rangers FC dari Indonesia, Guntur Sulistyo berharap dapat kekal bersama pasukan itu untuk musim hadapan.
Hasrat itu dizahirkan pemain berusia 27 tahun itu dalam sidang media pascaperlawanan Pahang Rangers-KL City FC yang diadakan di Axiata Arena.
Guntur membantu pasukan Pantai Timur itu meraih tempat ketiga Malaysia Futsal Cup 2024 dengan menewaskan KL City FC 4-2.
Dua gol Harith Naim Mohd Nasir, Tuah Eizlan Aminnudin dan Nazreen Saudi memastikan kemenangan berpihak kepada Pahang Rangers.
Guntur mengakui belum memikirkan tentang perancangan masa depannya. Ini kerana fokusnya selepas ini ialah menyahut panggilan skuad futsal kebangsaan Indonesia.
Pada masa sama, Guntur tidak menolak jika terus diberi peluang beraksi di Malaysia bersama Pahang Rangers.
“Saya belum berapa pasti tentang kontrak saya. Kerana selepas ini, saya pulang ke Indonesia kerana saya dapat panggilan ke skuad kebangsaan. Saya belum pasti lagi tentang masa depannya.
“Mungkin dua-duanya (beraksi di Malaysia dan bersama Pahang Rangers). Sebab sasaran saya ialah saya belum mahu pulang ke Indonesia. Tak tahu mungkin sama ada tetap di sini, belum tahu lagi,” katanya.
Sebelum menyertai Pahang Rangers, Guntur mewarnai saingan Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) bersama Gombak TOT United. Meskipun dihimpit dengan kemelut, itu tidak menghalang beliau menjaringkan 15 gol untuk pasukan itu musim ini.
Selain Pahang Rangers dan Gombak TOT United, Guntur juga pernah beraksi untuk kelab Indonesia, Black Steel FC Papua.