Pengendali KL City, Bojan Hodak seakan tidak percaya dengan penyelamatan yang dilakukan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi.
Pada minit ke-16 permainan, Syihan berjaya menghalang percubaan pemain KL City, Matko Zirdum daripada menerjah jaring. Situasi tersebut pada kebiasaannya menatijahkan kepada jaringan namun ketangkasan Syihan telah menggagalkan hasrat KL City membuka akaun jaringan.
Bojan Hodak bagaimanapun tetap berbangga dengan prestasi anak buahnya yang telah mempamerkan persembahan berkualiti. Beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada kem Harimau Selatan atas kejayaan menjulang trofi Piala FA kali ini.
“Saya berbangga dengan pemain saya. Apapun saya nak ucapkan tahniah kepada JDT, mereka lebih baik, jaringkan dua gol dan layak untuk kemenangan ini.”
“Kita ada satu peluang pada babak pertama perlawanan, tapi saya tak tahu bagaimana Syihan dapat selamatkannya.”
“Ya ada dua peluang keemasan tapi kita terlepas. Jika kita jaringkan gol, kita ada peluang. Tapi apakan daya,” ujar Bojan ketika ditemu bual Karl Nunis selepas perlawanan.
Syihan Hazmi cemerlang mencatat clean sheet dalam aksi final Piala FA 2023 malam semalam. Ketangkasan penjaga gol berusia 27 tahun ini telah meranapkan hasrat KL City untuk mencatat kemenangan kedua mengatasi JDT selepas aksi final Piala Malaysia 2021.