Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil akui terkejut dengan perkembangan positif pemain import, Reziq Bani Hani yang dibelenggu kecederaan sebelum ini.
Reziq yang mengalami kecederaan buku lali ketika beraksi di kejohanan jemputan RCTI Premium Sports pada awal Jun dikhabarkan terpaksa disisihkan oleh Selangor selama beberapa minggu sebelum ini.
Ini memaksa The Red Giants turun tanpa khidmat pemain kelahiran Jordan itu ketika menumbangkan Negeri Sembilan 4-0 dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala FA Sabtu lalu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Nidzam Jamil yang ditemui selepas perlawanan berkata, kemajuan yang ditunjukkan oleh pemain berusia 22 tahun itu sangat mengejutkan selepas doktor memaklumkan bahawa Reziq sudah boleh kembali selepas beberapa hari lagi.
“Reziq (Bani Hani) amat mengejutkan kerana kalau ikutkan doktor sebentar tadi, saya rasa mungkin hari Rabu (19 Jun) ini beliau akan menyertai (sesi latihan) kita,” katanya kepada pihak media.
Beliau turut akui perkembangan Reziq agak cepat dan tidak mengetahui apa rutin pemakanan pemain itu sehingga mampu kembali pulih beberapa minggu lebih awal dari jangkaan pihak perubatan sebelum ini.
Saya tak tahu dia (Reziq Bani Hani) makan apa, sepatutnya lagi dua minggu (dia kembali) tetapi ini agak cepat dan mengejutkan,” tambah pengendali berusia 44 tahun itu secara berseloroh.
Dalam aksi tersebut, dua gol masing-masing daripada Yohandry Orozco dan Alvin Fortes berjaya memastikan tempat Selangor di peringkat suku akhir nanti dan bakal berhadapan kelab dari Borneo, Kuching City FC.
Saingan Liga Super 2024/2025 akan kembali bersambung dengan The Red Giants dijadualkan menentang Perak FC yang dibimbing oleh Yusri Che Lah di laman sendiri pada 23 Jun hadapan.