Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell percaya Harith Haiqal Adam Afkar mampu menjadi aset Harimau Malaya pada masa hadapan.
Pandangan ini dinyatakan beliau selepas meneliti persembahan bek tengah berusia 22 tahun itu dalam aksi persahabatan antara New Zealand dan Malaysia baru-baru ini.
Aksi berkenaan menyaksikan Pau Marti Vicente bereksperimen dengan menggandingkan Harith dan Dominic Tan di bahagian bek tengah.
Gandingan Harith dan Dominic berjaya mengekang jentera serangan All Whites untuk tempoh 60 minit pertama perlawanan. Meskipun skuad negara tewas 4-0, persembahan bek tengah muda Selangor FC itu dilihat memuaskan.
Dan O’Donell percaya sekiranya Harith terus mempamerkan prestasi mantap dalam liga, tidak mustahil beliau mampu menjadi aset Harimau Malaya pada masa akan datang.
“Saya fikir Harith (aset Malaysia) pada masa hadapan. Beliau antara pemain terbaik kita dalam pasukan Piala Asia B-23. Dan beliau juga kerap beraksi untuk Selangor dan beraksi dengan baik.
“Saya ada melihat 60 minit pertama aksi menentang New Zealand dan beliau kelihatan mantap. Beliau seorang pertahanan yang baik dan bijak membaca permainan.
“Beliau selesa dengan bola dan agresif. Dan saya tak sabar melihat beliau beraksi lagi pada masa akan datang,” katanya kepada Nadi Arena.
Prestasi baik Harith bersama skuad negara dijangka ditagih jurulatih Selangor, Nidzam Jamil selepas ini. Ini kerana Selangor bukan saja perlu berdepan PDRM FC pada 19 Oktober ini.
Malah, Merah Kuning bakal meneruskan saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dengan menentang wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors pada 23 Oktober.