Sebuah Kelab Pantai Timur Tarik Perhatian Jutawan

liga super malaysia tepi pantai Sebuah Kelab Pantai Timur Tarik Perhatian Jutawan
leovalente / pixabay
Nik Faris @nikfalovic
7:01pm 02/07/2023

Khabar angin bertiup kencang mengatakan bahawa sebuah kelab yang berpangkalan di Pantai Timur bakal mendapat pemilik baharu tidak lama lagi.

Pelbagai senario melanda kancah bola sepak tempatan tatkala isu-isu hangat luar padang tidak dapat dipisahkan dengan senario bola sepak negara.

Perjalanan kelab di Malaysia juga sering diuji dengan pelbagai perkara termasuklah masalah berulang seperti tunggakan gaji dan sebagainya.

Info terbaru berkenaan bola sepak tanah air seakan mendapat suntikan nafas baharu apabila terdapat usaha mengambil alih sebuah kelab Liga Super.

Menurut perkongsian penting oleh penganalisis bebas bola sepak Malaysia, Syafiq Freman, beliau memaklumkan bahawa terdapat usaha entiti yang dikenali sebagai seorang jutawan untuk mengambil alih sebuah kelab di Malaysia.

Beliau memberitahu bahawa entiti perniagaan tersebut akan melancarkan bidaan rasmi tidak lama lagi.

“Difahamkan sebelum hujung Julai ini, sebuah kelab pantai timur bakal terima bidaan rasmi dari sebuah entiti perniagaan.”

Syafiq bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci kelab mana yang menjadi sasaran ‘jutawan’ tersebut.

Entiti ini bagaimanapun difahamkan merupakan sosok yang amat dikenali di Malaysia dan memiliki portfolio yang amat baik dalam bidang perniagaan selain pengetahuan luas dalam selok-belok bola sepak menjadi pendorong utama untuk mengambil alih kelab di Pantai Timur.

Ini juga bakal menjadi satu khabar yang amat menggembirakan tatkala kelab Liga Super memerlukan pengurusan yang cekap dan stabil untuk memastikan perjalanan kelab berlangsung dengan baik.