Harimau Malaya berpotensi untuk memiliki sekurang-kurangnya empat penyerang tulen yang berpeluang bergandingan bersama jersi kebangsaan.
Pasukan kendalian Peter Cklamovski bakal membuka tirai 2025 menentang pasukan ke-175 dunia, Nepal pada 25 Mac ini.
Usaha memantapkan pasukan kebangsaan hasil revolusi Harimau Malaya oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berterusan dengan kehadiran beberapa muka baharu.
Khabar terbaru daripada wartawan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam melaporkan mengenai potensi untuk melihat peledak kelahiran Belanda, Ferdy Drujif bersama Malaysia semakin cerah.
“Dokumentasi seorang pemain warisan negara sudah selesai.
“Posisi penyerang difahamkan Ferdy Druijf yang kini turut bergelar ejen bebas selepas kontraknya bersama SK Rapid juga sudah ditamatkan,” katanya di laman X.
Perkhabaran ini jelas memberikan gambaran awal terhadap beberapa muka baharu yang berpeluang untuk mengetuai jentera serangan negara.
Tahun 2024 menyaksikan pemain seperti Darren Lok, Romel Morales dan Haqimi Azim diberi peluang untuk mengetuai barisan serangan Harimau Malaya.
Bukan itu sahaja, DYAM Tunku Ismail turut memberi gambaran mengenai peluang peledak JDT, Bergson Da Silva untuk bersama pasukan kebangsaan sebelum ini.
Pengumuman daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga mengesahkan mengenai kehadiran pemain warisan baharu buat skuad kebangsaan.
“Proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir. Tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan.
“Kami berharap ingin mengambil langkah yang cemerlang apabila Kelayakan Piala Asia 2027 bermula pada Mac.
“Usaha ini bagi memastikan pasukan kebangsaan mempunyai pilihan yang lebih luas dengan pemain-pemain warisan ini akan meningkatkan peluang bagi aspirasi kami untuk membawa Harimau Malaya ke peringkat seterusnya,” ujar kenyataan FAM.
Hal ini menyaksikan tambahan pilihan barisan serangan menjelang saingan Kelayakan Piala Asia 2027 tidak lama lagi.