Pemain sayap warisan Harimau Malaya, Imanol Machuca mengakhiri tempoh pinjaman bersama Velez Sarsfield.
Umum mengetahui, Imanol Machuca antara 7 pemain yang terpalit dengan isu pemalsuan dokumen yang membuatkan kesemua mereka dikenakan hukuman penggantungan oleh FIFA.
Kes yang menggemparkan ini telah memberi kesan kepada perjalanan karier kesemua 7 pemain ini termasuklah Imanol Machuca setelah kali terakhir beliau beraksi pada September 2025.
Khidmat Imanol Machuca yang dipinjamkan dari Fortaleza ke Velez Sarsfield bagaimanapun dikhabarkan tidak disambung dengan kontrak pinjaman beliau sudah pun berakhir pada 31 Disember lalu.
Makluman terkini daripada Sabadovelez pada 31 Disember lalu memberitahu kontrak pinjaman Imanol Machuca serta Velez telah pun berakhir dan tak akan disambung oleh kelab berkenaan.
”Hari ini (31 Disember) tempoh pinjaman Tomás Galván dan Imanol Machuca bersama Vélez telah tamat,” lapor media dari Argentina itu.
“Imanol Machuca tidak akan meneruskan kebersamaan, sementara perbincangan mengenai Tomás Galván masih diteruskan, namun setakat ini belum mencapai kata sepakat.
Terdahulu, laman berita tersebut turut memaklumkan bahawa Imanol Machuca bakal kembali ke kelab asal beliau, Fortaleza sementara menantikan keputusan hukuman yang dibawa ke CAS.
“Pinjamannya akan tamat pada 31/12 dan selepas itu dia perlu kembali ke Fortaleza.”
“El Fortín tak akan mengaktifkan pilihan pembelian tetap dan pemain tersebut masih perlu menyelesaikan situasi undang-undangnya,” lapor portal yang sama kira-kira November lalu.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengesahan rasmi dari kedua-dua buah pasukan berkenaan perjalanan karier Imanol Machuca selepas ini sama ada kembali ke Fortaleza ataupun sebaliknya.
Ketika ini, kes Imanol Machuca dan 6 lagi pemain warisan ini telah dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk rayuan lanjut.