Selangor FC telah merekrut bekas juruanalisis yang pernah bersama kelab gergasi EPL, Man City.
Juruanalisis Korea Selatan, Lee Soon-seok dibawa masuk Merah Kuning untuk memantapkan barisan kejurulatihan pasukan itu yang diketuai Kim Pan-gon.
Beliau pernah berkhidmat di Stadium Etihad dari 2017 hingga 2020. Soon-seok kemudiannya menyertai barisan kejurulatihan Ulsan HD dari 2021 hingga 2023.
Tempoh tersebut menyaksikan Ulsan yang dibimbing Hong Myung-bo ketika itu bergelar juara K-League 1 pada 2022 dan 2023.
Soon-seok kemudiannya menyertai kelab China, Henan FC dari 2024 sehingga 2025. Peranan baharunya bersama Selangor diharap dapat membantu Pan-gon mencapai sasaran pasukan itu musim ini.
Bekas jurulatih Harimau Malaya itu bakal membuat kemunculan pertama sebagai jurulatih menjelang aksi menentang Brunei DPMM FC pada Sabtu.
Selangor berharap bukan saja dapat menghadiahkan kemenangan buat Pan-gon untuk aksi pertamanya bersama pasukan itu.
Malah, Merah Kuning berharap dapat bangkit selepas tewas 2-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini.