Selangor Umum Ketibaan Peter Makrillos
MakanBola
Selangor FC

Pemain tengah Australia, Peter Makrillos menjadi pemain terbaru menyertai Selangor FC.

Perpindahan pemain tengah berusia 31 tahun itu diumumkan pengurusan Merah Kuning menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.

“Selangor FC dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran pemain tengah dari Sydney, Australia, Peter Makrillos, sebagai pemain import ketiga dan pemain baharu keenam Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

“Peter mengharungi karier profesional di beberapa negara termasuk England, Australia, Greece, Finland, Hungary, Denmark, Sweden dan Republik Korea. Musim lalu, beliau beraksi dalam V. League 1 Vietnam bersama Cong An Ho Chi Minh City FC.

“Pengalaman luas yang dimiliki dijangka mampu memperkukuhkan pasukan, khususnya menerusi peranan sebagai pemain tengah box-to-box yang berupaya membantu dalam aspek pertahanan dan serangan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Jurulatih Selangor, Kim Pan-gon melihat corak permainan Makrillos mampu menjadi aset kepada pasukan itu terutama ketika melancarkan serangan.

“Saya memang mencari seorang pemain seperti Peter. Beliau bukan sahaja mampu beraksi sebagai pemain box-to-box, malah turut berupaya menyumbang jaringan gol. Saya yakin kehadirannya akan menambah kekuatan pasukan dalam menghadapi musim ini,” katanya.

Sebaik selesai melengkapkan perpindahan, Makrillos mengakui teruja dapat menyertai Selangor. Beliau berharap dapat membantu pasukan gergasi Lembah Klang itu tampil cemerlang musim ini.

“Saya sentiasa mengenali Selangor FC dan tahu kelab ini merupakan salah sebuah pasukan ternama di Malaysia serta Asia. Saya juga sentiasa bercita-cita untuk beraksi bersama salah sebuah kelab terbaik di Asia.

“Apabila peluang ini hadir, saya tahu inilah langkah yang tepat. Saya juga sedar Selangor FC hadir dengan harapan yang tinggi, namun saya sukakan tekanan kerana bagi saya, itulah bola sepak,” ujarnya.

Makrillos menjadi pemain import terbaru Selangor musim ini selepas Eduardo Sosa dan Jefferson Tabinas. Beliau juga berpotensi berentap dengan bekas rakan sepasukan dan pemain tengah Harimau Malaya, Endrick dos Santos dalam Liga Super.

Ini kerana Endrick dilaporkan akan menyertai Star City selepas meninggalkan Cong An Ho Chi Minh City FC (CAHCMC FC).