Selangor bakal berdepan barisan pencabar yang kuat apabila bersaing di peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Berdasarkan senarai terkini pasukan yang layak ke peringkat kumpulan ACL2 di sebelah timur yang dikeluarkan Footy Rankings, lapan pasukan telah mengesahkan tempat.
Selain Selangor, Lion City Sailors, Lee Man dan Sydney FC sudah mengesahkan kelayakan. Manakala Bangkok United, Zhejiang, Jeonbuk Hyundai Motors dan Sanfreece Hiroshima melengkapkan baki pasukan yang layak ke peringkat kumpulan.
Tiga slot yang masih kosong ialah wakil Vietnam, Filipina dan pasukan yang tewas dalam pusingan play-off Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Wakil Vietnam dan Filipina merujuk kepada juara V. League 1 musim 2023/24 dan juara Philippines Football League (PFL) 2024.
Sementara itu, dua daripada enam pasukan sudah mengesahkan kelayakan untuk bersaing di peringkat play-off. Dua pasukan itu ialah Tampines Rovers dan Persib Bandung.
Rovers layak atas kapasiti pasukan kedua tempatan terbaik Singapore Premier League (SPL) musim 2023. Manakala Persib pula layak selepas bergelar juara Liga 1 Indonesia musim 2023/24 semalam.
Empat pasukan yang masih belum diketahui untuk play-off ialah wakil Korea Utara, Filipina, Vietnam dan Hong Kong.
Selangor layak ke ACL2 selepas menamatkan kempen Liga Super 2023 sebagai naib juara. Kempen peringkat kumpulan ACL2 dijangka bermula pada 17 September ini.