Seorang lagi bintang Timnas Indonesia dijangka bakal menghangatkan saingan Liga Super Malaysia musim 2024/25.
Umum mengetahui bahawa terdapat beberapa watak Indonesia sudah pun menghangatkan saingan di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara pemain yang mengukuhkan reputasi di Liga Super ialah kapten pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jordi Amat dan juga pemain sayap lincah Sabah, Saddil Ramdani.
Jordi yang juga pemain berpengalaman dari Liga Perdana Inggeris (EPL) telah bersama JDT sejak tahun 2022 dan membantu kempen Harimau Selatan terutamanya di Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim lalu.
Saddil Ramdani pula telah memastikan Sabah mara ke peringkat separuh akhir Piala AFC Zon Asean tahun 2023 dan beraksi hampir kesemua perlawanan.
Seorang lagi pemain berbakat pernah dikaitkan ke Malaysia oleh laman bola sepak Indonesia sejak beberapa bulan kebelakangan ini iaitu Marselino Ferdinan.
Pemain berusia 22 tahun itu telah meninggalkan kelab Belgium, KMSK Deinze yang disertainya sejak Januari tahun 2023.
Perkara itu juga telah diumumkan olehnya menerusi satu hantaran di laman sosial kelab tersebut beberapa hari yang lalu.
Sebelum ini, laman bola sepak Indonesia iaitu Pojok Arena telah melaporkan bahawa Kelantan DN tertarik untuk mendapatkan khidmat Marselino Ferdinan.
Kontrak pemain ini telah berakhir pada 30 Jun 2024 sekaligus menyaksikan peluang cerah Marselino untuk menyertai mana-mana kelab di Malaysia termasuklah Kelantan DN.
Perkongsian ini telah mendapat liputan meluas dengan hampir 9,200 pengikut telah memberikan tanda suka kepada hantaran ini namun memiliki pelbagai pandangan tentang berita perpindahan ini.
Setakat ini, tiada apa-apa pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak yang menyatakan minat untuk membawa masuk pemain versatil itu ke Liga Super.