Kelantan Darul Naim FC hari ini mengumumkan bahawa kelab bakal kehilangan dua watak berpengaruh yang memacu kejayaan pasukan selama ini.
Hal ini susulan Timbalan Presiden, Dato’ Sr. Haji Zamri Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Wan Mohd Zul Ikman telah melepaskan jawatan masing-masing.
Dua individu ini difahamkan mahu memberi tumpuan penuh pada urusan lain yang lebih utama.
Peletakan jawatan mereka diambil adalah demi kebaikan serta rasa tanggungjawab untuk menjaga kepentingan kelab yang kini telah memulakan perjuangan dalam saingan Liga Malaysia untuk musim 2024/25.
“Pemergian dua individu penting yang telah membuat banyak pembaharuan, memberi sepenuh dedikasi untuk pembangunan kelab serta meletakkan Kelantan Darul Naim FC pada kedudukan sekarang agar kekal relevan dalam industri bola sepak Malaysia sejak dijenamakan semula pada 2019.
“Ini merupakan satu kehilangan besar buat bola sepak Kelantan terutamanya kepada kelab dan pasukan.
Kelantan Darul Naim FC juga merakamkan jutaan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan Dato’ Sr. Haji Zamri Ismail serta Encik Wan Mohd Zul Ikman atas khidmat mereka setelah 6 tahun perjuangan bermula dari Liga M3 sehingga berada di saingan tertinggi, Liga Super Malaysia.
“Akhir kata, Kelantan Darul Naim FC tidak sesekali melupakan segala jasa dan curahan tenaga dari kedua-dua individu hebat ini.
“Kami mendoakan agar Dato’ Sr. Haji Zamri Ismail serta Encik Wan Mohd Zul Ikman sentiasa diberikan kesihatan, kemudahan dan dilimpahkan segala kebalkan dalam setiap perkara yang mereka lakukan. Selamat maju jaya dalam setiap urusan yang dijalankan selepas ini,” ujar Kelantan DN dalam satu kenyataan.
Kelantan DN tewas dua aksi pembukaan menentang Sabah dan juga Sri Pahang sungguhpun memberikan saingan terbaik kepada lawan.